global

Pekerja maut ditimbus longgokan sampah

Beijing: Seorang pekerja maut ditimbus hidup-hidup dalam longgokan sampah selepas tidak sengaja dilanggar pemandu lori.

Satu rakaman video menunjukkan detik pekerja itu secara tidak sengaja ditolak ke dalam tempat pembuangan oleh sebuah lori dipandu rakannya.

Pasukan bomba berusaha menyelongkar longgokan sampah itu untuk mencari lelaki terbabit, tetapi cuma menemui mayatnya.

“Seorang pekerja terjatuh ke dalam tempat pembuangan sampah sebelum ditimbus hidup-hidup selepas sebuah lori sampah secara tidak sengaja melanggarnya menyebabkannya terjatuh ke dalam tempat pelupusan.

“Pasukan bomba menggunakan tangan untuk menyelongkar longgokan sampah berkenaan sebelum jengkaut digunakan untuk menggali timbunan itu dengan harapan dapat menjumpai serta menyelamatkan pekerja terbabit.

“Malangnya, dia tidak dapat diselamatkan,” lapor People’s Daily.

Operasi menyelamat berlangsung selama dua jam sebelum mayat mangsa akhirnya ditemui. - Agensi

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 12:48pm
d