global

Ambil kesempatan penternak enggan pindah

Oleh Agensi

Bali: Ramai penduduk di lereng Gunung Agung enggan berpindah kerana bimbang meninggalkan ternakan mereka.

Susulan itu, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan perkara itu apabila pergi ke perkampungan terbabit dan menawarkan membeli ternakan dengan harga jauh murah berbanding biasa.

Lembu sihat yang lazimnya bernilai sekitar 10 juta rupiah (RM3,200), kini dijual semurah 5 juta rupiah (RM1,600) berikutan pemiliknya mahu mengelak mengalami kerugian lebih teruk.

Susulan itu, ketua persatuan penduduk Klungkung, Nyoman Suardika berkata, pihaknya mewujudkan tempat perlindungan ternakan percuma untuk menyediakan lokasi selamat sementara berhampiran pemiliknya.

“Dengan ini mereka tidak perlu mengalami kerugian terutama akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Inisiatif itu kini turut diadakan di beberapa lokasi lain, malah pihak berkuasa tempatan mempertimbang menjadikannya contoh untuk keadaan kecemasan pada masa akan datang.

Sehingga semalam, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, 48,540 daripada 62,000 penduduk dipindahkan dari zon bahaya, manakala mereka yang enggan akur memberikan pelbagai alasan termasuk gunung belum meletus, risaukan ternakan malah juga atas sebab kepercayaan serta adat.

Jurucakapnya Sutopo Purwo Nugroho berkata, pihaknya masih berusaha memujuk penduduk terbabit, memandangkan Gunung Agung kini memasuki fasa kritikal.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 3:19am
d