global

40 tahun dalam badan

Oleh Agensi

London: Seorang lelaki disyaki menghidap kanser selepas doktor mengesan satu ketumbuhan di paru-parunya sebelum mendapati ia adalah sejenis permainan yang ditelannya ketika kecil.

Pesakit berusia 47 tahun yang dirahsiakan identiti itu mendapat rawatan di hospital selepas mengadu batuk berkahak dan tidak sihat selama lebih setahun.

Imbasan X-ray mengesan satu ketumbuhan di paru-parunya dan disyaki kanser kerana lelaki itu merokok sejak 30 tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan di dalam paru-paru lelaki itu, doktor mendapati ketumbuhan itu sebenarnya adalah satu kon jalan permainan yang ditelannya kira-kira 40 tahun lalu.

Menurut laporan di jurnal BMJ Case Reports, doktor menganggap kes itu sebagai satu misteri kerana tempoh masa yang lama lelaki berkenaan menunjukkan sebarang kesan selepas menelan objek itu.

“Dalam pengetahuan kami, ini adalah kes pertama dilaporkan mengenai benda asing dalam badan yang tidak dikesan selama 40 tahun,” kata laporan itu.

Prosedur untuk mengeluarkan objek daripada paru-paru lelaki itu dilakukan kumpulan doktor pakar dari Hospital Diraja Preston.

Lelaki itu memberitahu doktor ketika kecil dia sering bermain dan menelan permainan miliknya.

Menurutnya, dia juga masih ingat dihadiahkan set permainan kenderaan ketika ulang tahun kelahirannya yang ketujuh.

Sementara itu, beberapa pakar berpendapat pesakit berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda kerana usianya terlalu muda ketika menelan objek itu.

Apabila lelaki itu membesar, paru-parunya mula menerima kehadiran objek asing di dalam badan.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 8:55am
d