global

Tiga tuduhan rasuah

Oleh Reuters

Islamabad: Bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif dihadapkan ke mahkamah antirasuah semalam seterusnya membuka prosiding yang didakwanya berat sebelah yang mampu menggagalkan peluang partinya pada pilihan raya tahun depan.

Nawaz dihadapkan ke Biro Akauntabiliti Kebangsaan (NAB) di Islamabad atas tiga tuduhan rasuah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Rangkaian televisyen tempatan melaporkan, Nawaz akan didakwa secara rasmi pada 2 Oktober depan, kira-kira dua bulan selepas diisytiharkan hilang kelayakan oleh Mahkamah Agung kerana gagal mengisytiharkan satu sumber kewangan.

Mahkamah turut menuduh kekayaan keluarga Nawaz jauh melebihi pendapatan sah mereka.

Ahli Parlimen dari parti Nawaz, Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), Marvi Memom berkata: “Kehadirannya hari ini di mahkamah membuktikan dia memang ‘singa.’

Nawaz, yang tiba di Pakistan semalam selepas menghabiskan sebulan di London memberitahu mahkamah isterinya menghidap kanser di sana dan memerlukan penjagaan rapinya.

Dia sebelum ini menyelar tuduhan rasuah terhadapnya sebagai bermotifkan politik, manakala penyokongnya termasuk anak perempuannya Maryam - yang dianggap pewarisnya - membayangkan kejatuhannya didalangi tentera.

Pembangkang, Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) diketuai bekas pemain kriket Imran Khan yang mendesak prosiding mahkamah terhadap Nawaz turut menggesa pilihan raya awal diadakan, namun tidak mungkin akan dipersetujui kerajaan.

Dua anak Nawaz dan bekas Menteri Kewangan Ishaq Dar juga bakal dihadapkan ke mahkamah NAB dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 10:12am
d