global

Lebih 122,000 penduduk dipindahkan

Oleh AFP

LEBIH 122,000 orang dipindahkan bagi mengelak berikutan kebimbangan gunung berapi Gunung Agung di Bali semakin hampir untuk meletus berikutan peningkatan aktiviti, termasuk banyak gegaran.

Gunung Agung yang terletak 75 kilometer dari pantai pelancongan Kuta, mula bergegar serta memuntahkan debu dan asap sejak Ogos lalu, selepas kali terakhir meletus pada 1963.

Menurut agensi bencana Indonesia, daerah Klungkung menjadi pusat pemindahan dan sehingga kini, 122,490 orang sudah meninggalkan rumah masing-masing.

Kira-kira 62,000 orang tinggal berdekatan gunung itu yang dianggap zon bahaya.

Pihak berkuasa turut mengedarkan topeng pernafasan, tilam, selimut dan khemah serta makanan.

Lima siren dipasang di kawasan bahaya bagi memberi amaran jika gunung itu meletus.

Kira-kira 10,000 ternakan, termasuk kerbau dan kambing juga dipindahkan.

Kerajaan Indonesia sudah membuat persiapan melencongkan pesawat menuju Bali ke lapangan lain berdekatan jika letusan berlaku.

Hari ini, gunung berkenaan mencatatkan 125 gegaran dan menurut agensi pemantau gunung berapi Indonesia, gegaran semakin kerap dan kuat.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 7:08pm
d