global

Mohon perlindungan di Britain

Oleh Agensi

Bangkok: Bekas Perdana menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dilaporkan berada di London, Britain untuk mendapatkan perlindungan politik selepas dihukum penjara lima tahun kerana cuai dalam tugas.

Agensi berita CNN melaporkan, satu sumber Parti Pheu Thai yang diketuai Yingluck memberitahu pemimpin itu meninggalkan Dubai untuk ke London, dua minggu lalu.

Kata sumber itu, Yingluck berada di London untuk memohon perlindungan suaka politik.

Satu laporan Reuters kelmarin yang memetik sumber di Dubai juga menyatakan Yingluck pergi ke London dari Dubai pada 11 September lalu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon semalam memberitahu, pihak berkuasa sudah meminta bantuan Interpol untuk memburu Yingluck.

Prawit juga memberitahu dia tidak tahu adakah Yingluck berada di London.

“Kementerian Luar melaporkan bahawa Yingluck berada di Dubai dan masih belum memberitahu perkembangan terbaru,” katanya.

Yingluck melarikan diri ke luar negara pada 25 Ogos lalu sebelum Mahkamah Agung dijadual membacakan keputusan kes perbicaraannya.

Pemimpin yang ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2014 itu didakwa cuai dalam mengurus sistem subsidi padi hingga menyebabkan negara kerugian berbilion dolar.

Mahkamah pada Rabu lalu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana gagal menghentikan kontrak berkaitan pembelian padi walaupun tahu perjanjian itu menyalahi undang-undang.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 3:37am
d