global

Tak akan tunduk

Oleh AFP

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte semalam berkata dia tidak akan bekerjasama dengan siasatan pendakwa antirasuah khas terhadap kekayaannya yang dikatakan diperoleh dengan cara haram malah menegaskan dia tidak akan tunduk kepada badan itu.

Ombudsman itu minggu lalu berkata ia menyiasat dakwaan bahawa akaun bank Duterte mempunyai jutaan peso yang gagal diisytiharkannya seperti diperuntukkan undang-undang.

Duterte bertindak balas menyelar ombudsman berkenaan sebagai ‘tak guna’ selain mengatakan tuduhan terhadapnya sekadar ‘pembohongan berasaskan maklumat palsu.’

“Saya tidak akan tunduk kepada bidang kuasa (ombudsman itu). Menggunakan bukti palsu, menipu kepada rakyat negara ini dengan terang-terangan, kemudian kamu mahu saya tunduk kepada ombudsman itu?” katanya merujuk kepada Timbalan Ombudsman Melchor Arthur Carandang yang mengumumkan siasatan itu beberapa hari lalu.

Ucapannya yang turut dipenuhi maki hamun bertentangan dengan kenyataan jurucakapnya bahawa presiden menghormati dan percaya dengan kesaksamaannya.

Duterte, 72, memenangi pilihan raya presiden tahun lalu berasaskan platform antirasuah dan pendekatan tegas terhadap jenayah.

Ketika kempennya, Duterte berkata dia daripada keluarga miskin dan hidup sederhana, seterusnya meningkatkan imejnya sebagai ahli politik yang mewakili rakyat bawahan.

Bagaimanapun, siasatan ombudsman itu susulan aduan difailkan sebelum pilihan raya oleh senator pembangkang, Antonio Trillanes yang mendakwa Duterte menggelapkan dana kerajaan ketika menjadi datuk bandar lebih dua dekad di Davao.

Kelmarin, Duterte berkata, keluarganya memiliki hartanah dan perniagaan manakala mendiang ayahnya gabenor wilayah.

“Semuanya tidak mungkin menjangkau 40 juta peso (RM3.3 juta) - simpanan seumur hidup saya, dan semuanya diwarisi. Orang Davao tahu perkara ini.

“Apakah kamu semua anggap kami miskin?” katanya.

Duterte pernah menyelar ketua hakim Mahkamah Agung, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, gereja dan media yang mengkritiknya malah melancarkan kempen untuk menyekat atau menjatuhkan kredibiliti pihak berkenaan.

Minggu lalu, Duterte mengumumkan mahu mewujudkan suruhanjaya untuk menyiasat rasuah di dalam ombudsman, yang diselar pembangkang sebagai tindakan balas dendam.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 12:26pm
d