global

Wisel kecil tersangkut di tekak

Oleh Agensi

Tucuman (Argentina): Seorang budak lelaki terpaksa menjalani pembedahan selepas dia tertelan wisel kecil yang ada pada sebuah alat permainan.

Lebih malang lagi, wisel itu tersangkut di tekak kanak-kanak berusia lapan tahun itu dan ia berbunyi setiap kali mangsa bernafas.

Dr Santiago Gomez Zuviria yang merawat kanak-kanak itu terpaksa membuat satu pembedahan kecil bagi mengeluarkan wisel berkenaan.

Sebelum pembedahan dilakukan, Zuviria merakam bunyi yang dikeluarkan ketika budak itu menarik nafas dan memuat naik video berkenaan di Facebook sebagai peringatan kepada ibu bapa.

Bagaimanapun, video itu menjadi tular di Internet kerana dianggap lucu oleh pengguna media sosial dan kini ia ditonton lebih sembilan juta kali.

Dalam video berkenaan, Zuviria menjelaskan bahawa tujuannya bukannya mahu mempersendakan kanak-kanak itu tetapi sebagai peringatan kepada ibu bapa.

Namun, wajah budak lelaki itu dan bunyi yang dikeluarkannya ketika menghembus nafas dianggap lucu oleh pengguna media sosial.

Klip video selama 90 saat itu dikongsi lebih 90,000 kali di Facebook.

Zuviria memberitahu, wisel kecil itu berjaya dikeluarkan dari tekak kanak-kanak itu melalui pembedahan.

Kanak-kanak itu juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kesan sampingan dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 9:58am
d