global

34 dipenjara rancang bunuh Erdogan

Oleh AFP

Istanbul: Seramai 34 orang dihukum penjara seumur hidup semalam kerana merancang membunuh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di sebuah hotel mewah ketika cubaan rampasan kuasa tahun lalu.

Semua 34 tertuduh itu masing-masing dijatuhi empat hukuman penjara seumur hidup pada perbicaraan di Mugla, lapor stesen televisyen TRT Haber.

Antara tertuduh termasuk bekas Brigadier Jeneral Gokhan Sahin Sonmezates yang didakwa merancang kudeta itu.

Perbicaraan bermula pada 20 Februari lalu dan antara pelbagai prosiding lain di sekitar Turki yang membicarakan kumpulan yang didakwa merancang menggulingkan Erdogan pada 15 Julai 2016.

Ada tertuduh dalam kes lain sudah dikenakan hukuman tetapi ini penghakiman pertama membabitkan dalang yang merancang kudeta itu.

Seramai 249 maut dalam cubaan rampasan kuasa itu yang turut dirancang didalangi ulama dalam buangan, Fethullah Gulen yang kini berada di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Tuduhan itu dinafikan Fethullah.

Erdogan sebelum ini berkata, dia nyaris terbunuh dalam cubaan itu tetapi sempat melarikan diri dari hotel di Marmaris tempat dia sekeluarga bercuti, untuk menaiki penerbangan pulang ke Istanbul.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 10:56am
d