global

Sah Yingluck di Britain

Oleh Agensi

Bangkok: Polis semalam mengesahkan bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra berada di Britain dan sedang mendapatkan notis merah untuk penangkapannya daripada Interpol.

Timbalan ketua polis negara, Srivara Ransibrahmanakul berkata kelmarin, dia sudah pun menandatangani permohonan untuk notis merah Interpol yang dihantar ke badan polis dunia itu menerusi bahagian hal ehwal asing Polis Diraja Thai. Notis merah Interpol bersamaan dengan waran tangkapan antarabangsa.

Srivara berkata, alasan dalam permohonan berkenaan adalah disebabkan Yingluck mempunyai waran tangkap dikeluarkan mahkamah tempatan. Bagaimanapun, katanya, sama ada ia dikeluarkan akan bergantung kepada Interpol.

Menurutnya, polis bertindak sebaik Emiriah Arab Bersatu mengesahkan Yingluck sudah meninggalkan Dubai untuk ke Britain.

“Thailand dan Britain mempunyai perjanjian ekstradisi, jadi pendakwa akan mengambil alih perkara ini,” katanya.

Yingluck dipercayai menghilangkan diri pada 23 Ogos lalu, dua hari sebelum mahkamah dijadualkan membuat keputusan berhubung kes cuai terhadapnya membabitkan skim subsidi beras yang menyebabkan berbilion dolar.

Susulan kehilangannya, mahkamah menangguhkan kes itu kepada 27 September lalu, apabila Yingluck dipenjara lima tahun kerana gagal menghalang penjualan program yang dianggap palsu dan rasuah itu.

Siasatan masih dijalankan untuk menjejak pihak yang membantunya menghilangkan diri.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 11:00am
d