global

Filipina terima raifal gempur dari China

Oleh Reuters

Manila: Kerajaan China menyumbangkan 3,000 raifal gempur kepada Filipina kelmarin sebagai tanda persahabatan dan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara.

Penghantaran senjata dari China itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Presiden Rodrigo Duterte menjalin hubungan lebih rapat dengan Beijing.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berkata, senjata itu sepatutnya diserahkan kepada tentera tetapi Duterte berpendapat polis lebih memerlukannya.

“Kami bertuah kerana kerajaan China menyumbang senjata api ini,” kata Lorenzana dalam satu sidang akhbar semalam di mana sejumlah senjata turut dipamerkan.

Raifal CQ-A5b buatan China itu bakal digunakan polis bagi mengatasi kekurangan senjata api selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat penjualan 26,000 raifal M4 pada tahun lalu.

Tindakan itu diambil selepas timbul kebimbangan di AS berhubung pelanggaran hak asasi manusia oleh polis Filipina dalam kempen memerangi dadah yang menyebabkan ribuan suspek dibunuh.

Pada Jun lalu, China menyumbang 3,000 raifal gempur dan 100 raifal penembak tepat dalam sebahagian diplomasi baru dengan Filipina yang sebelum ini sering berbalah mengenai tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Tentera Filipina turut menyerahkan raifal tempur itu kepada polis dan hanya menerima raifal penembak tepat.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 2:23am
d