global

Bekas komander Bosnia bebas

Oleh AFP

Sarajevo: Seorang bekas komander pejuang Muslim Bosnia dibebaskan daripada tuduhan jenayah perang ketika perang saudara pada 1990.

Naser Oric, 50, pernah menjadi pengawal kepada bekas presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic dan antara segelintir komander Muslim yang didakwa melakukan kekejaman terhadap orang Serbia ketika perang itu, tetapi dianggap wira dalam kalangan penduduk Muslim Bosnia.

Mahkamah semalam membebaskannya dan seorang lagi bekas askar Bosnia, Sabahudin Muhic, daripada tuduhan membunuh tiga tahanan Serbia pada 1992.

Naser mempertahankan bandar Srebrenica, di mana kira-kira 8,000 lelaki dan kanak-kanak Muslim dibunuh kejam tentera Serbia, yang dianggap kezaliman paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Pada 2006, Naser dihukum penjara dua tahun oleh tribunal jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas didapati gagal melindungi penduduk Serbia ketika perang Bosnia dari 1992 hingga 1995.

Susulan rayuan pada 2008, dia dibebaskan daripada tuduhan itu, sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk Serbia yang menuduh The Hague sebagai berat sebelah.

Naser anggota unit Belgrade yang ditugaskan melindungi Milosevic, yang mengetuai kejatuhan berdarah bekas Yugoslavia pada 1990-an.

Sewaktu perbicaraannya yang bermula tahun lalu, Naser sentiasa dialu-alukan wanita Srebrenica, yang memberi tepukan setiap kali memasuki mahkamah.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 8:43am
d