global

Hamas bersetuju serah Gaza

Oleh Reuters

HAMAS dan Fatah mencapai persetujuan menamatkan persengketaan antara dua pertubuhan itu sejak puluhan tahun lalu, dengan Hamas bersetuju menyerahkan kawalan pentadbiran Gaza yang dipegangnya sejak sedekad lalu, kepada Fatah.

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, mengumumkan persetujuan dicapai dengan Fatah hari ini, hasil rundingan ditaja Mesir tanpa memberi penjelasan lanjut.

Fatah yang disokong Barat, kehilangan Gaza kepada Hamas yang dianggap pengganas oleh Barat dan Israel, ketika perang saudara pada 2007.

“Presiden (Mahmoud Abbas yang disokong Fatah) mengalu-alukan persetujuan di Kaherah itu dan mengarahkan delegasi Fatah menandatanganinya dengan segera,” kata seorang pegawai Presiden.

Pada 2014, Hamas dan Fatah bersetuju menubuhkan kerajaan bersama namun Hamas masih mentadbir Gaza.

“Kami mengambil semua usaha yang termampu untuk melaksanakan bab baru dalam sejarah penduduk Palestin,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem.

Melalui persetujuan itu, 3,000 anggota pasukan Fatah akan menyertai 2,000 polis Hamas di Gaza.

Namun, Hamas yang sudah tiga kali berperang dengan Israel sejak 2008, kekal sebagai kumpulan bersenjata terkuat Palestin dengan 25,000 pejuang lengkap bersenjata.

Selain itu, Pihak Berkuasa Palestin (kerajaan Mahmoud Abbas) akan mengambil alih kawalan pintu sempadan Rafah antara Gaza dengan Mesir.

Persetujuan serta kerjasama lain, termasuk nasib kakitangan kerajaan Hamas di Gaza serta bekalan elektrik dan air akan dibincangkan kemudian.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 7:50pm
d