global

46 mangsa banjir, tanah runtuh

Hanoi: Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh manakala 33 lagi hilang selepas banjir serta tanah runtuh memusnahkan kawasan di utara dan tengah Vietnam, kata pihak berkuasa bencana semalam.

Antara mangsa ialah seorang wartawan yang lemas selepas dihanyutkan arus deras bersama empat yang lain ketika membuat liputan di jambatan yang musnah akibat sungai yang melimpah di Yen Bai.

Puluhan ribu penduduk dipindahkan selepas hujan lebat melanda negara itu, minggu ini, dengan peramal cuaca memberi amaran lebih banyak cuaca buruk bakal melanda.

Hoa Binh di utara Vietnam paling teruk terjejas dengan 11 orang terbunuh dan 21 lagi hilang, menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan darurat.

“Kami mengerahkan semua tentera mencari mangsa yang hilang,” kata pegawai bencana kepada AFP menerusi telefon.

Usaha menyelamat terjejas apabila air dan lumpur menenggelamkan jalan di beberapa kawasan termasuk di Hoa Binh, di mana lapan orang maut dalam tanah runtuh.

“Orang ramai perlu dipindahkan dari kawasan berbahaya. Keselamatan dan barangan peribadi amat penting,” kata Timbalan Perdana Menteri Trinh Dinh Dung menerusi saluran televisyen negara itu.

Sementara itu, penduduk yang ketakutan menceritakan keadaan banjir di bahagian lain di wilayah itu.

“Banjir kilat itu sangat dahsyat. Air dari bukit mengalir ke bawah. Keadaan lalu lintas juga tersekat kerana banjir,” kata Phan Ba Dien kepada portal berita VNExpress.

Seorang lagi penduduk, Nguyen Vu Ngoc berkata: “Air mengalir deras. Saya sudah lama tidak melihat banjir seperti itu di kawasan pergunungan.”

Bencana itu mengorbankan 46 orang di enam wilayah, dengan lebih 18,800 kediaman rosak atau musnah termasuk puluhan ribu hektar tanah ladang, kata pihak berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam.

Vietnam sering dilanda cuaca buruk dengan hampir 170 orang terbunuh atau hilang dalam bencana itu setakat ini tahun ini.
- AFP

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 7:08am
d