global

Mayat rentung, ada yang jadi abu

Oleh AFP

JUMLAH korban kebakaran hutan di California meningkat kepada 31 orang dengan pasukan mencari dan menyelamat menggunakan anjing untuk mencari mangsa mayat dalam bencana dianggap terburuk di negeri itu.

Syerif Daerah Sonoma, Rob Giordano - kawasan paling teruk terbakar - tidak menolak kemungkinan jumlah kematian meningkat selain berkata, proses mencari dan mengenal pasti mayat akan mengambil masa.

“Ada mayat yang masih sempurna, selain yang rentung atau terus jadi abu,” katanya.

Kebakaran yang sudah memusnahkan kawasan seluas 190,000 ekar bermula Ahad lalu, menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal yang musnah sama sekali.

Cuaca kering akibat kemarau serta angin kencang menyukarkan usaha 8,000 anggota bomba yang dikerah memadam 20 kebakaran.

Ketua Bomba California Ken Pimlott berkata: “Ini bererti kebakaran akan berterusan tanpa sebarang perubahan positif atau sebaliknya.

“Cuma yang pasti, buat masa ini ia tidak akan selesai.”

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 11:49pm
d