global

Kebakaran di California sukar dikawal

Sonoma (Amerika Syarikat): Angin kencang dijangka menyemarakkan lagi kebakaran hutan di utara California semalam dan menyukarkan usaha bomba mengawal bencana terburuk di negeri itu.

Sehingga semalam, jumlah mangsa yang terbunuh meningkat kepada 35 orang dan lebih 90,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Kebakaran yang tercetus seminggu lalu di pusat pembuatan wain di California memusnahkan kira-kira 5,700 rumah.

Sebanyak 17 kebakaran hutan besar yang berlaku memusnahkan 89,840 hektar belukar, tanah rumput dan hutan di lapan daerah.

Angin kencang dijangka meningkat kelmarin dan semalam dengan tiupan angin mencecah 90 kilometer sejam dengan 10 peratus kelembapan.

“Sekiranya kebakaran baru tercetus ia akan merebak dengan sangat cepat,” kata pegawai perkhidmatan cuaca Sacramento, Brooke Bingaman.

Kebakaran turut memusnahkan pekan Santa Rosa di daerah Sonoma di mana keseluruhan penempatan menjadi abu dengan kenderaan yang rentung.

Sebanyak 35 kematian disahkan termasuk 19 di Sonoma, sekali gus korban tertinggi direkodkan dalam satu kebakaran di California.

Jumlah itu mengatasi 29 angka korban kebakaran hutan Griffith Park di Los Angeles pada 1933. - Reuters

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 5:48am
d