global

Perang dijangka tamat tidak lama lagi

Oleh AFP

Marawi: Tentera Filipina semalam melancarkan serangan udara di kedudukan militan Daish yang masih bertahan di Marawi dan berkata, perang itu akan tamat tidak lama lagi.

Tentera sebelum ini menyasarkan semalam sebagai tarikh untuk menamatkan konflik itu yang dilaporkan membunuh lebih 1,000 orang.

Pasukan bersenjata Filipina beberapa kali gagal menepati jangka waktu bagi menewaskan militan Daish yang dipercayai mahu menubuhkan pemerintahan khalifah di rantau ini.

Beberapa jet FA-50 mengebom beberapa lokasi di Marawi ketika tentera bertempur dari rumah ke rumah di kawasan dikuasai militan yang kini mengecil kepada dua hektar.

“Kami berharap dapat membebaskan Marawi sepenuhnya tidak lama lagi,” kata jurucakap tentera, Kolonel Romeo Brawner.

Kumpulan pemberontak tempatan yang dibantu militan Daish menawan sebahagian besar Marawi pada 23 Mei lalu.

Sejak itu, seramai 822 militan, 162 anggota keselamatan dan 47 orang awam dilaporkan terkorban dalam konflik berkenaan.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 8:47am
d