global

Ketua Abu Sayyaf terbunuh

Oleh AFP

FILIPINA hari ini, mendakwa ketua kumpulan militan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, 51, dan sekutunya, Omar Maute, sudah terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Mindanao.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, berkata tentera berjaya membunuh Hapilon dan Omar Maute dalam serangan hari ini.

“Tentera Filipina melancarkan serangan terhadap kedudukan militan di Marawi, awal hari ini, serta berjaya membunuh Hapilon dan Omarkhayam Maute,” katanya.

Menurutnya, ujian DNA akan dilakukan bagi mengesahkan identiti kedua-dua mereka.

“Berikutan itu, krisis di Marawi kni semakin hampir untuk berakhir dan kami mungkin mengumumkan penamatan operasi ketenteraan dalam beberapa hari lagi,” katanya.

Militan sokongan Negara Islam (IS), termasuk Abu Sayyaf dan Maute (pimpinan dua beradik Omar serta Abdullah) menawan Marawi sejak 23 Mei lalu. Pertempuran sudah menyebabkan lebih 1,000 terbunuh, dan ratusan ribu penduduk dipindahkan.

Sebelum ini, tentera Filipina yakin Abdulllah sudah terbunuh dalam serangan Jun lalu.

Kerajaan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$5 juta untuk Isnilon, sama ada hidup atau mati.

Omar dan Abdullah mengetuai militannya menawan Marawi ketika operasi pasukan khas Filipina untuk menangkap Isnilon, Mei lalu.

Abu Sayyaf yang dipimpin Isnilon terbabit dalam puluhan rakyat asing, termasuk rakyat Malaysia, untuk mendapatkan wang tebusan sejak 2001.

Lorenzana berkata, tentera Filipina kini sedang memburu rakyat Malaysia, Mahmud Ahmad, yang turut bertempur di Marawi kerana dia adalah pengantara militan Filipina dengan IS.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 5:44pm
d