global

Bertempur hingga mati

Oleh Reuters

Marawi: Pertempuran selama lima bulan di Marawi kini tertumpu di sebuah bangunan dua tingkat, kubu terakhir saki-baki militan Daish yang bertekad berjuang hingga mati.

Kira-kira 30 militan termasuk keluarga mereka masih bertahan di bangunan bersebelahan Tasik Lanao itu dan kelihatan mereka sedia bertempur buat kali terakhir.

“Kini tinggal satu lagi bangunan lagi dan mereka berada di dalamnya.

“Kami percaya militan itu bersedia bertempur hingga mati kerana percaya mereka akan mati syahid,” kata timbalan komander operasi itu, Kolonel Romeo Brawner.

Katanya, askar mengguna pembesar suara bagi merayu militan itu menyerah diri tetapi tidak berhasil.

Brawner juga menjangkakan pertempuran sengit berlanjutan hingga tengah malam.

“Kami tidak tahu berapa ramai berada di dalam bangunan itu dan adakah mereka masih hidup atau sudah mati,” jelasnya.

Marawi yang ditawan pemberontak Maute dan militan Daish mengejutkan Filipina sekali gus menjadi krisis dalaman terbesar negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Kumpulan militan juga mengejutkan banyak pihak dengan kemampuan mereka bertahan serangan udara dan darat tentera Filipina selama lima bulan.

Pihak tentera memperoleh kejayaan besar pada minggu lalu selepas berjaya membunuh pemimpin Daish Asia Tenggara, Isnilon Hapilon dan ketua pemberontak Maute, Omarkhayam Maute.

Seorang pemimpin Daish yang juga pengumpul dana operasi itu, Mahmud Ahmad seorang rakyat Malaysia juga berjaya dibunuh.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 9:30am
d