global

Indonesia minta AS beri penjelasan

Oleh Reuters

Jakarta: Kerajaan Indonesia semalam membuat permintaan ‘penting’ bagi mendapatkan penjelasan daripada Amerika Syarikat (AS) mengenai alasan Washington menyekat panglima tentera Indonesia masuk ke negara itu.

Panglima tentera Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo dihalang menaiki penerbangan Emirates menuju ke AS pada Sabtu lalu.

Gatot ketika itu mempunyai visa dan jemputan rasmi menghadiri satu forum daripada Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Joseph F Dunford Jr.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, dia menerima permohonan maaf daripada timbalan duta AS ke Jakarta tetapi masih menunggu penjelasan daripada Washington.

“Kami menegaskan bahawa kami masih menunggu penjelasan mengapa perkara ini berlaku,” katanya selepas bertemu dengan wakil kedutaan AS.

Katanya, pegawai kedutaan cuba berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan di AS bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Kedutaan AS di Jakarta dalam satu kenyataan memberitahu, isu itu sudah diselesaikan dan tiada sekatan untuk Gatot ke AS.

Insiden itu mencetuskan kemarahan beberapa kumpulan di Indonesia yang menaikkan kain rentang di Jakarta mendesak duta AS dan rakyat negara itu dihalau keluar.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 8:08am
d