global

Hukum mati perisik Israel

Oleh AFP

Teheran: Iran semalam berkata ia menghukum mati seorang rakyatnya kerana merisik untuk Israel bagi mendapat status penduduk tetap Sweden.

Amnesty International pada Isnin lalu mengumumkan pakar perubatan kecemasan Ahmadreza Djalali, yang ditahan di Iran sejak April 2016, didapati bersalah bekerja dengan kerajaan Israel.

Pendakwa Raya Teheran Abbas Jafari Dolatabadi tidak menamakan Ahmadreza semalam, tetapi berkata seorang suspek dihukum mati kerana menyerahkan maklumat mengenai program nuklear Iran kepada ejen agensi risikan Israel, Mossad untuk mendapat permit penduduk tetap Sweden.

“Dia turut mendedahkan lokasi serta maklumat mengenai 30 individu yang terbabit dalam projek penyelidikan tentera serta nuklear,” kata Jafari.

Menurutnya, dua saintis nuklear Iran, Majid Shahriari dan Masoud Alimohammadi dibunuh dalam letupan bom pada 2010 akibat maklumat risikan itu.

Undang-undang Iran tidak membenarkan nama penjenayah didedahkan sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya.

Antara 2010 hingga 2012, lima saintis Iran, empat terbabit dalam program nuklear negara itu terbunuh dalam serangan bom serta tembakan di Teheran.

Republik itu menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 9:22am
d