global

Mahu terus bangun peluru berpandu

Oleh AFP

Tehran: Presiden Iran, Hassan Rouhani semalam menegaskan bahawa negara itu akan terus membina senjata termasuk membangunkan peluru berpandu.

“Bagi mempertahankan negara kami dan kedaulatan wilayah, kami akan membina semua senjata yang diperlukan,” katanya dalam satu ucapan di Parlimen.

Ujian peluru berpandu terbaru Iran menyebabkan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan dan mendakwa Tehran melanggar perjanjian nuklear 2015 antara negara itu dengan kuasa besar dunia.

Perjanjian ditandatangani Iran, Jerman, Britain, China, Perancis, Russia dan AS itu menyaksikan sekatan terhadap ekonomi ditarik balik sebagai tukaran Tehran menghentikan aktiviti nuklearnya.

“Kami akan membina peluru berpandu dan akan terus berbuat demikian kerana ia tidak melanggar sebarang peraturan antarabangsa termasuk Resolusi 2231 yang mengiktiraf perjanjian itu,” tegas Hassan.

Mengikut resolusi itu Tehran tidak boleh melancarkan sebarang peluru berpandu yang mampu membawa senjata nuklear.

Bagaimanapun, Iran mendakwa semua peluru berpandu itu direka untuk membawa peledak konvensional sahaja.

Namun, AS dan Perancis menegaskan bahawa pelancaran peluru berpandu itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 8:54am
d