global

Bunuh, kerat ibu

Oleh Agensi

SEORANG lelaki membuat laporan polis kehilangan ibunya namun hakikatnya wanita malang itu dibunuh anaknya yang memotong mayat mangsa dan dimasukkan dalam dua beg sebelum dibuang ke laut di Chicago.

Brian Peck, 55, dari Elgin, Chicago, kini berdepan dua tuduhan iaitu membunuh dan menyembunyikan pembunuhan.

Jumaat lalu, Peck menghubungi polis memberitahu ibunya, Gail Peck, 76, keluar berjalan dengan anjing hanya haiwan itu yang pulang.

Polis melancarkan operasi mencari besar-besaran selama beberapa jam, termasuk menggunakan dron dan helikopter.

Mereka akhinya menemui dua beg mengandungi anggota tubuh manusia dalam lagun di Lincoln Park. Satu daripada beg itu ditemui nelayan sebelum polis menemui beg kedua.

Satu beg mengandungi sebahagian badan dan bahagian kaki manakala bahagian badan selebihnya berada dalam beg satu lagi.

Timbalan Ketua Polis Elgin, Bill Wolf, berkata ujian DNA membuktikan mayat berkenaan ialah Gail dan mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa Peck.

Gail pernah memfailkan arahan sekatan terhadap anaknya itu pada Mac tahun lalu, selepas mereka bertengkar kerana Peck memainkan muzik terlalu kuat dan lelaki itu mencekik serta mengancam membunuhnya.

Jiran memberitahu, dua beranak itu baru berpindah ke kawasan itu beberapa bulan lalu. - Daily Mail

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 8:32pm
d