global

Bentuk gabungan bantah Duterte

Oleh Reuters

Manila: Peguam di Filipina semalam mengumumkan satu gabungan untuk mencabar kempen memerangi dadah yang dilancarkan Presiden Rodrigo Duterte yang meragut lebih 3,900 nyawa.

Duterte melancarkan kempen itu selepas berkuasa lebih setahun lalu dengan tujuan membasmi masalah dadah di negara itu.

Bagaimanapun, kempen itu dicemari dengan pembunuhan suspek dadah yang dilakukan polis dan kebanyakan mangsa adalah penduduk miskin.

Peguam Menentang Pembunuhan Tanpa Bicara antara gerakan yang semakin besar mendesak kerajaan menghentikan kempen itu.

“Menjadi tanggungjawab semua peguam untuk sentiasa dan tanpa kompromi menegakkan dan mempertahankan hak asasi manusia,” kata ketua Kesatuan Kebangsaan Peguam Rakyat, Edre Olalia.

Sementara itu, jurucakap Duterte, Harry Roque menafikan pentadbiran pemimpin itu melanggar hak asasi manusia tetapi menyambut baik kumpulan berkenaan.

“Melainkan kita dapat buktikan berlakunya pembunuhan tanpa bicara barulah tindakan sepatutnya akan diambil.

“Duterte tidak akan menerima berlakunya pembunuhan. Dia hanya menerima kejadian yang selaras dengan tugas dan bila ia mengikut undang-undang,” jelasnya.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 8:44am
d