global

Usir habis dari Deir Ezzor

Damsyik: Tentera Syria akhirnya berjaya menawan sepenuhnya Deir Ezzor sekali gus mengusir keluar kumpulan militan Daish dari kubu kuat terakhir mereka di situ.

“Tentera mengumumkan menawan sepenuhnya bandar Deir Ezzor,” lapor berita televisyen tempatan.

Agensi berita SANA melaporkan bahawa Deir Ezzor ‘dibebaskan sepenuhnya.’

Unit kejuruteraan tentera turut dilaporkan memeriksa kawasan ditawan sebelum ini terutama untuk mengesan bom yang ditinggalkan.

Pada Khamis lalu, wartawan AFP melihat kemusnahan besar di bandar berkenaan apabila banyak bangunan hancur akibat serangan udara dan artileri.

Tentera Syria dan pakatan tentera dibantu tentera udara Russia bertempur di kawasan timur bandar itu sejak September lalu apabila menamatkan pengepungan Daish hampir tiga tahun di situ.

Deir Ezzor ibu kota wilayah Deir Ezzor, kawasan kaya minyak yang bersempadan Iraq dan kebanyakannya ditawan Daish.

Daish kini berdepan dua serangan di wilayah itu, daripada tentera rejim serta Tentera Demokratik Syria yang disokong Amerika Syarikat (AS), pakatan pejuang Kurdis dan Arab.

Kumpulan militan itu kehilangan sejumlah besar kawasan mereka di wilayah berkenaan dan pekan Albu Kamal di sempadan Iraq kini menjadi kedudukan saki-baki anggotanya. - AFP

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 8:04am
d