global

Spesies baru orang utan ditemui

Jakarta: Satu spesies baru orang utan ditemui di satu kawasan hutan terpencil di Sumatera sekali gus menjadi beruk besar paling terancam di dunia, kata penyelidik kelmarin.

Pengarah Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera, Dr Ian Singleton berkata, ini adalah pengisytiharaan pertama spesies baru beruk besar dalam tempoh 100 tahun.

“Spesies itu dikenali sebagai orang utan Tapanuli yang tinggal di hutan Batang Toru di Sumatera.

“Jumlah haiwan itu hanya kira-kira 800 ekor sekali gus menjadi spesies beruk besar paling terancam di dunia,” katanya.

Sebelum ini saintis beranggapan hanya ada dua spesies orang utan iaitu Borneo dan Sumatera yang berlainan dari segi genetik.

Spesies baru itu disahkan selepas satu kajian mengenai penemuan satu kumpulan terpencil orang utan di Batang Toru oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Australia pada 1997.

Menurut kajian itu, populasi kecil orang utan itu kini diancam aktiviti perlombongan, pertanian, pembalakan haram serta cadangan empangan hidroelektrik yang bakal menenggelamkan lapan peratus habitat haiwan itu.

Penyelidik juga menggesa satu langkah pemuliharaan segera dilakukan bagi mengelak spesies itu daripada pupus. - AFP

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 8:06am
d