global

Pantau kapal korek terbesar China

Manila: Kerajaan Filipina melahirkan kebimbangan semalam mengenai kapal korek terbesar China dan akan memantau ketat aktiviti mesin itu.

China yang berbelanja besar bagi membina pulau buatan untuk mengukuhkan tuntutan di Laut China Selatan kini menguji kapal baru itu yang direka untuk meningkatkan aktiviti menambak laut.

“Kehadiran kapal itu sedikit membimbangkan. Ke mana ia pergi, kami tidak tahu,” kata Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana.

Pegawai tentera berkata, kapal yang dinamakan Tian Kun Hao yang mempunyai dek sebesar sembilan gelanggang bola keranjang itu adalah kapal korek terbesar di Asia.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang turut mempunyai tuntutan bertindih dengan beberapa negara termasuk Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Lorenzana memberitahu, askar yang ditempatkan di sembilan lokasi dituntut Manila di Laut China Selatan diarahkan memantau pergerakan tentera laut, pengawal pantai dan bot nelayan China di kepulauan Spratly.

“Kami memantau pergerakan kapal itu sepanjang masa. Kami juga membuat rondaan dari udara dan ini membolehkan kami memantau kapal korek besar itu,” jelasnya. - Reuters

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 3:44am
d