global

'Black Widow' dihukum mati

Oleh AFP

WANITA yang digelar ‘Black Widow’ berikutan lelaki kaya mati selepas menjadi kekasih atau suaminya, dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Daerah Kyoto, Jepun, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh tiga orang, termasuk seorang suaminya.

Perbicaraan Chisako Kakehi, 70, yang menghadapi tuduhan membunuh dan cuba membunuh menjadi perhatian di Jepun sejak perbicaraan bermula Jun lalu.

Kes wanita itu mendapat perhatian selepas siasatan mendapati dia memikat lelaki berusia yang kaya bagi membolot harta mereka selepas membunuh mangsa menyebabkan digelar ‘Black Widow’, sempena nama labah-labah yang membunuh pasangan jantan selepas mengawan.

Menurut pendakwaraya, wanita itu menggunakan racun sianida bagi membunuh kekasihnya dan sepanjang 10 tahun, dia membolot satu bilion yen (RM37.2 juta).

Pada permulaan perbicaraannya, wanita itu enggan bercakap, namun dia kemudian membuat kejutan apabila mengaku membunuh suami keempatnya pada 2013.

Chisako menjalin hubungan dengan ramai lelaki, hampir semuanya berusia atau sakit yang kaya dan tiada anak melalui agensi mencari kenalan.

Mahkamah diberitahu, semua mangsanya mati selepas mewariskan harta mereka kepadanya atau menamakan Chisako sebagai penerima bayaran insurans yang berjumlah jutaan ringgit.

Media Jepun melaporkan wanita itu berkahwin empat kali dan enam kekasihnya mati secara misteri.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 6:33pm
d