global

Dua murid maut, tiga parah

Oleh AFP

DUA murid lelaki terbunuh, tiga lagi parah selepas kereta dipandu seorang wanita merempuh bilik darjah di sebuah sekolah rendah di Sydney, hari ini.

Kejadian pada sebelah pagi itu berlaku di Sekolah Awam Banksia Road apabila SUV terbabit tiba-tiba merempuh masuk ke dalam bangunan kayu bilik darjah berkenaan.

Pemandu wanita berusia 52 tahun itu ditahan untuk siasatan serta menjalani ujian alkohol dan dadah.

Menurut saksi, wanita itu menjerit ‘tolong, maafkan saya’.

Sebelum kejadian, wanita itu dikatakan singgah menghantar anaknya dan polis menyifatkan kejadian itu sebagai ‘tidak disengajakan.’

Asisten Komisioner New South Wales, Stewart Smith, berkata kereta itu merempuh masuk ke dalam bangunan mengakibatkan lima kanak-kanak cedera dan dihantar ke Hospital Westmead dengan dua daripadanya meninggal dunia.

“Mangsa yang maut berusia lapan tahun dan 17 kanak-kanak lain, termasuk guru menerima rawatan di tempat kejadian akibat cedera ringan,” katanya.

Seorang lelaki yang enggan dikenali membantu mengalihkan kereta bagi mengeluarkan seorang kanak-kanak di bawahnya namun kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital.

“Tiga orang termasuk saya mengalihkan kereta dan kami menarik kanak-kanak itu dari bawah kereta.

“Seorang lagi yang cedera, terbaring sambil memanggil nama ibunya,” katanya kepada Sydney Daily Telegraph.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 10:56pm
d