global

Daish tewas di Syria

Oleh Reuters

Beirut: Tentera Syria semalam mengumumkan kemenangan terhadap kumpulan Daish selepas mendakwa berjaya menawan bandar terakhir yang menjadi kubu kuat militan berkenaan.

Tentera berkata, askar dan sekutunya masih bertempur dengan militan di kawasan gurun berhampiran Albu Kamal, bandar terakhir dikuasai Daish di Syria.

Bagaimanapun, kejatuhan bandar itu menandakan tamatnya pemerintahan khalifah di Syria dan Iraq yang diumumkan Daish pada 2014.

Selepas pertempuran sengit untuk menawan semula beberapa bandar penting daripada Daish pada tahun ini, kejatuhan bandar terakhir itu berlaku dengan pantas.

Walaupun berikrar untuk bertempur hingga mati bagi mempertahankan pemerintahan itu, ramai militan menyerah diri atau melarikan diri.

Kumpulan militan itu juga mengalami kekalahan teruk di Iraq.

Seorang komander kumpulan pejuang prokerajaan memberitahu, pertempuran di Albu Kamal berlangsung sengit tetapi bandar itu ditawan pada hari yang sama serangan bermula.

“Ini menandakan kejatuhan projek organisasi Daish di wilayah ini,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Nasib pemimpin utama Daish, Abu Bakr al-Baghdadi masih belum diketahui sama ada dia terbunuh dalam serangan udara atau pertempuran, ditawan tetapi tidak dikenal pasti atau bersembunyi di lokasi rahsia.

Tiga tahun lalu di sebuah masjid di Mosul, Iraq, Abu Bakr mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah selepas kejayaan kumpulan itu menawan sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria.

Mosul ditawan tentera Iraq pada Julai lalu selepas bertempur selama sembilan bulan dan diikuti dengan kejatuhan beberapa bandar lain.

Kemunculan terakhir pemimpin itu adalah pada September lalu apabila dia membuat satu rakaman suara dan berikrar berperang hingga mati.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 6:38am
d