global

Mana Saad al-Hariri?

Beirut: Presiden Lubnan menggesa Arab Saudi memberi penjelasan kenapa Perdana Menteri Saad al-Hariri masih belum pulang ke negaranya, seminggu selepas membuat pengumuman peletakan jawatan secara mengejut ketika lawatan ke Riyadh.

“Kami mahu Arab Saudi yang dianggap saudara dan mempunyai hubungan persahabatan begitu mendalam supaya menjelaskan kenapa Saad tidak dapat pulang,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Peletakan jawatan mengejut Saad sekali lagi meletakkan Lubnan dalam kemelut politik antara Arab Saudi dan Iran - pertelingkahan yang turut memberi kesan di Syria, Iraq, Yaman serta Bahrain.

Dalam satu kenyataan, Presiden Michel Aoun berkata: “Lubnan tidak menerima bahawa perdana menterinya berada dalam keadaan yang bertentangan dengan perjanjian-perjanjian antarabangsa. Sebarang komen atau tindakan Saad tidak menggambarkan realiti, susulan status peletakan jawatannya masih dipertikaikan.”

Seorang pegawai kanan Lubnan berkata, Aoun memaklumkan duta asing bahawa Saad sudah ‘diculik.’

Saad mengumumkan peletakan jawatan dalam satu siaran dari Arab Saudi. Pihak berkuasa Lubnan percaya Riyadh menahan Saad - yang terbang ke Arab Saudi pada 3 November lalu - kata sumber termasuk seorang ahli politik kanan yang rapat dengan pemimpin itu.

Riyadh mendakwa Saad bebas dan memutuskan meletak jawatan kerana sekutu Iran di Lubnan, Hizbullah, lebih berkuasa dalam kerajaan campurannya.

Saad tidak membuat sebarang kenyataan sejak pengumuman minggu lalu itu dan menyatakan kebimbangan bahawa ada perancangan untuk membunuhnya, selain menuduh Iran bersama Hizbullah menyemarakkan kekacauan di dunia Arab.

Dia juga tidak membayangkan bila akan pulang ke Beirut, tetapi dilaporkan mengambil bahagian dalam upcara menyambut kepulangan Raja Arab Saudi, Raja Salman dari Madinah selain turut menemui duta Turki serta Britain di kediamannya di Riyadh. - Reuters

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 7:02am
d