global

12 ikan paus terdampar di Aceh

Oleh Reuters

Jakarta: Pihak berkuasa dan nelayan semalam berusaha menyelamatkan 12 ekor ikan paus sperma yang terdampar di satu kawasan pantai di Aceh, kata seorang aktivis alam sekitar.

Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Aceh, Sapto Aji Prabowo berkata, sekurang-kurangnya dua daripada haiwan itu cedera, tetapi sukarelawan menunggu hingga air pasang untuk membawa ia kembali ke laut menggunakan tali.

“Adalah lebih baik menunggu sehingga air pasang, tetapi kami bimbang haiwan ini mungkin akan mati,” katanya.

Imej yang tersebar di media sosial menunjukkan puluhan sukarelawan berjalan di atas terumbu dan mengikat tali pada ikan paus, yang setiap satunya sepanjang beberapa meter dan mengalihkan siripnya yang besar itu ke dalam air cetek.

Ikan paus sperma itu antara mamalia terbesar di dunia dan boleh membesar sehingga 12 meter dan mencapai berat 57 tan.

Meskipun luar biasa, keadaan ini pernah dilihat di bahagian lain di Indonesia, negara kepulauan luas dengan lebih 17,000 pulau.

Tahun lalu, 29 ekor ikan paus terperangkap dalam paya bakau di pantai timur Jawa tetapi berjaya melepaskan diri dengan bantuan nelayan.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 1:06pm
d