global

67 maut serangan 12 pos polis

Kandahar (Afghanistan): Kira-kira 22 anggota polis dan 45 pemberontak maut selepas Taliban menyerang lebih 12 pos pemeriksaan dalam tempoh enam jam di wilayah Kandahar, kata pegawai semalam.

Menurutnya, 15 polis dan 35 pemberontak turut cedera dalam kejadian itu, tetapi penyerang gagal menawan mana-mana pos pemeriksaan disasarkan.

“Tentera kita bertahan sehingga menerima bantuan dan sokongan udara. Taliban berjaya ditewaskan,” kata jurucakap untuk ketua polis Kandahar, Zia Durrani.

Sementara itu, Taliban memberitahu wartawan menerusi aplikasi pesanan mesej WhatsApp yang mereka membunuh 43 anggota polis dan militia, selain memusnahkan 13 kenderaan perisai.

Kumpulan pemberontak sering membesar-besarkan jumlah korban perang.

Dalam pada itu, Taliban turut menyerang Bala Boluk di wilayah Farah semalam menyebabkan lapan askar terbunuh dan mencederakan tiga yang lain.

Menurut Ketua Inspektor Khas untuk Pembinaan Semula Afghanistan, kawalan atau pengaruh kerajaan ke atas negara jatuh kepada hanya bawah 60 peratus, kurang enam peratus dari tahun lalu.
- Reuters

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 9:54am
d