global

Mugabe diguling

Oleh Agensi

PRESIDEN Zimbabwe, Robert Mugabe dan isterinya ditahan tentera dalam operasi yang digelar ‘pemindahan kuasa tanpa pertumpahan darah’ ketika bekas timbalan presiden yang dipecat Mugabe, kembali ke negara itu dari buangan.

Pemerintahan berdekad Mugabae berakhir selepas kenderaan tentera termasuk kereta kebal, mengepung jalan raya sekitar Parlimen di Harare manakala pegawai kanan tentera muncul di televisyen memberi penjelasan kepada rakyat.

Menurut Daily Mail, kenyataan di akaun Twitter milik parti pemerintah, menyatakan Robert Mugabe, 93, dan keluarganya selamat selepas ditahan demi kepentingan perlembagaan dan keutuhan negara.

Kenyataan itu mendakwa Grace iaitu isteri Mugabe, ‘mengambil kesempatan terhadap presiden yang sudah berusia lanjut itu’ kerana mahu menggantikan suaminya.

Bekas timbalan presiden, Mnangagwa, 75, bekas tentera yang terbabit dalam perang kemerdekaan Zimbabwe' pada 1970-an yang dipecat Mugabe awal bulan ini, kembali dari buangan dan dilantik sebagai presiden baru.

Kenyataan di Twitter itu yang menafikan ia adalah rampasan kuasa berkata: “Keputusan diambil untuk campur tangan kerana perlembagaan kita terancam. Komrad E Mnagngawa akan menjadi presiden (Parti) ZANU P.

“Malam tadi, keluarga pertama itu ditahan dan mereka selamat.

“Zimbabwe atau ZANU bukan dimiliki Mugabe dan isterinya. Hari ini, bermula era baru dan komrad Mnangagwa akan menerajui kita menjadikan Zimbabwe lebih baik.

“Tiada rampasan kuasa, hanya pemindahan kuasa tanpa pertumpahan darah dengan mereka yang korup dan jahat ditahan,” kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 4:49pm
d