global

Maut dicincang

Oleh Agensi

Queensland (Australia): Seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas terperangkap di dalam mesin pengisar kayu ketika membantu jirannya membersihkan laluan masuk ke rumah di pinggir bandar Australia.

Bruce Saunders bersama dua rakannya membantu jiran wanita mereka di Goomborian, Queensland pada petang Ahad lalu, apabila dia terperangkap di dalam mesin berkenaan ketika memasukkan batang pokok untuk dikisar.

Inspektor yang bertugas, Paul Algie menyifatkan kejadian itu sebagai paling teruk pernah dilihatnya sepanjang berkhidmat selama 16 tahun.

“Saya pergi ke tempat kejadian untuk bercakap dengan pegawai dari Brisbane dan ia kemalangan paling dahsyat pernah saya lihat. Tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Sementara itu, keluarga dan rakan Saunders memberi penghormatan menerusi Facebook masing-masing dengan seorang daripadanya menggambarkan mangsa sebagai baik hati serta berhati mulia.

Menurut Algie, rakannya yang cuba membantu mengeluarkan mangsa ketika kejadian terlalu terkesan dan trauma dengan apa yang berlaku.

Kematian Saunders diklasifikasikan sebagai kemalangan.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 12:53am
d