global

Jutawan sekelip mata

Oleh Agensi

Bengkulu, Indonesia: Seorang nelayan di sini, menjadi jutawan sekelip mata selepas muntah ikan paus yang ditemuinya di lautan dijual dengan harga Rp 3.3 bilion (RM1.01 juta).

Sukardi yang berasal dari Kaur itu dilaporkan menemui 350 kilogram muntah ikan paus atau dikenali sebagai ambergris ketika menangkap ikan di laut pada 2 November lalu.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan, Sukardi menjual 150 kilogram muntah paus itu pada harga Rp 3.3 bilion kepada pembeli yang tidak dikenali.

Kata laporan itu lagi, nelayan itu masih menyimpan baki 200 kilogram muntah paus berkenaan dan menawarkan kepada mana-mana pembeli berminat.

Sukardi memberitahu Kompas.com, dia menemui muntah paus yang berwarna putih itu berselerak di lautan ketika menangkap ikan.

“Pada mulanya saya menyangka objek berwarna putih ini hanya sampah dan saya membawa ke dalam bot kerana mahu membersihkan lautan.

“Apabila pulang ke rumah, saya melayari Internet dan baru sedar objek yang dikutip itu adalah muntah paus yang bernilai tinggi,” katanya.

Menurutnya, ketika dipegang muntah paus itu terasa seperti lilin dan cair serta boleh menghidupkan api apabila dibakar.

Ambergris yang dikeluarkan daripada perut ikan paus sperma digunakan untuk membuat minyak wangi bermutu tinggi.

Menurutnya, sejak berita penemuan muntah ikan paus itu tersebar, dia menerima banyak panggilan telefon daripada beberapa individu yang mahu membelinya.

“Saya masih menyimpan 200 kilogram muntah paus itu di rumah dan bersedia menjual sekiranya ada yang menawarkan harga yang berpatutan,” jelasnya. - Agensi

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:15am
d