global

Nenek jiwa muda

Oleh Agensi

Kumamoto (Jepun): Biarpun lanjut usia, seorang nenek berusia 89 tahun membuktikan belum terlambat untuk mengikut rentak orang muda dengan mempelajari teknik menghasilkan gambar swafoto yang kreatif.

Kimiko Nishimoto yang berjinak-jinak dalam ilmu fotografi lebih 10 tahun lalu, mengambil pelbagai gambar termasuk potret dirinya sebelum melakukan suntingan hingga menghasilkan imej lucu.

Pada mulanya, dia mendaftar kelas fotografi diajar anak lelakinya ketika berusia 72 tahun sebelum hobi itu menjadi minat utamanya, malah menyediakan ruang studio di rumah.

Kebanyakan gambar dihasilkannya bersifat lucu dengan menggunakan pelbagai kesan suntingan dipelajari sendiri.

Berbekalkan minat dan kemahiran, Kimiko mengadakan pameran pertama di tempat asalnya di Kumamoto, Jepun, selain menghasilkan koleksi gambar bertajuk ‘Hitori ja naka yo’ (Anda tidak bersendirian).

Dia akan terus mengadakan pameran untuk memberi peluang orang ramai melihat karyanya dan tidak lama lagi karya bertajuk ‘Asobokane’ (Mari Bermain) akan dipamerkan di Tokyo.

Swafoto yang dihasilkan mencuit hati orang ramai di seluruh negara selepas dimuat naik di Internet.

“Saya gembira apabila orang ramai suka swafoto ini.

“Saya akan sentiasa mencuba apa saja yang menarik minat,” kata Kimiko.

Satu gambar dihasilkan imej dirinya berjemur tergantung di penyidai di tengah panas.

Gambar dihasilkan Kimiko sebenarnya menggambarkan sifat dirinya yang sentiasa bersikap positif dan gembira dalam hidup walaupun pernah berdepan tragedi gempa bumi yang merosakkan rumahnya pada April lalu.

“Kejadian itu dahsyat, tetapi apa yang penting bersikap positif. Jika ada orang bersedih, saya ingin menceriakan mereka,” katanya.

“Saya mahu mereka ketawa melihat gambar ini. Saya akan terus mengambil gambar yang menggambarkan keseronokan hidup,” katanya. - Agensi

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:19am
d