global

Tren berlepas awal pun mohon maaf

Oleh AFP

PENGENDALI perkhidmatan kereta api di Jepun memohon maaf ke atas gangguan dihadapi penumpang apabila kereta api berlepas 20 saat lebih awal daripada dijadualkan.

Kereta Api Tsukuba Express yang menghubungkan Tokyo dengan bandar di utara ibu negara itu berlepas dari stesen Minami Nagareyama pada 9:44:20 dan bukannya 9:44:40.

“Kami amat memohon maaf kerana menimbulkan gangguan kepada pelanggan,” kata syarikat itu.

Tiada penumpang yang terlepas kereta api itu atau membuat aduan berhubung kejadian ini, katanya.

Namun, syarikat itu terkejut dengan perhatian diterima berhubung permohonan maaf ini.

“Kami pernah memohon maaf bagi kereta api yang berlebas lebih awal sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkata, mereka meminta maaf kerana prosedur keselamatan tidak dipatuhi.

“Apa yang penting bukannnya 20 saat itu... Prosedur rasmi sepatutnya begini: amaran bunyi 15 saat sebelum pelepasan, diikuti pengumuman meminta penumpang berhati-hati kerana pintu akan ditutup sebelum pintu ditutup,” katanya.

Masalah keselamatan mungkin timbul di masa hadapan jika prosedur keselamatan ini tidak diikuti.

“Kadang-kadang terdapat penumpang yang cuba masuk kereta api pada saat-saat akhir... mereka boleh tersepit jika pintu tutup tanpa amaran,” katanya.

Perkhidmatan rel Jepun, termasuk kereta api laju shinkansen terkenal dengan ketepatan masa.

Pengawal kereta api akan meminta maaf walaupun sedikit lewat.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 3:10pm
d