global

Diarah serah wang, aset berbilion

Oleh Reuters

PIHAK berkuasa Arab Saudi dilapor sedang mengusahakan persetujuan dengan mereka yang ditahan bagi siasatan kes rasuah baru-baru ini, dengan meminta mereka menyerahkan aset serta wang tunai jika mahu dibebaskan.

Menurut sumber, persetujuan itu membabitkan pelepasan hak milik wang tunai, termasuk akaun bank, hartanah dan saham.

Sumber itu berkata, selepas seorang ahli perniagaan yang bersetuju dengan tawaran itu, puluhan juta riyal wangnya dalam akaun dikeluarkan.

Dalam satu kes lagi, seorang pegawai kanan kerajaan menyerahkan hak milik saham bernilai empat bilion riyal.

Ratusan orang, termasuk lebih 40 kerabat diraja, ahli perniagaan dan menteri ditahan dalam operasi rasuah atas arahan Putera Mahkota Mohammed bin Salman awal bulan ini.

Akaun bank mereka dibekukan sebaik ditahan.

Menurut Reuters, belum ada ulasan atau kenyataan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berhubung persetujuan itu.

Financial Times melaporkan, dalam beberapa kes, kerajaan menuntut sehingga 70 peratus kekayaan mereka yang ditahan sebagai hukuman kerana terbabit dalam urus niaga tidak jujur sejak berdekad.

Menurut Peguam Negara, jabatannya sedang menyiasat dakwaan rasuah berjumlah sekurang-kurangnya AS$100 bilion.

Kejatuhan harga minyak yang berpanjangan menyebabkan bajet Arab Saudi mengalami defisit AS$79 bilion tahun lalu.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 9:20pm
d