global

Balkoni 'pusara'kekasih

Oleh Agensi

Osaka: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki membunuh kekasihnya yang rangkanya ditemui di balkoni apartmennya pada 26 Oktober lalu selepas rumah suspek diserbu pemilik rumah akibat gagal membayar sewa.

Tomoaki Komoto, 28, ditangkap pada jam 7 pagi Khamis lalu di sebuah restoran di Abeno.

Menurut polis, Komoto mengaku membunuh Ayumi Hiraku sekitar Disember 2010 dengan mencekiknya. Mangsa kali terakhir dilihat masih hidup pada 12 Disember 2010.

Kematian Ayumi hanya diketahui selepas Komoto gagal membayar sewa apartmennya sejak Ogos lalu, menyebabkan syarikat perumahan menghantar notis melalui pos memintanya melunaskan pembayaran.

Bagaimanapun, apabila dia tetap gagal membayarnya, wakil syarikat dan pihak polis menyerbu rumahnya yang dipenuhi sampah pada 23 Oktober lalu, tetapi mereka gagal membuat pemeriksaan pada bahagian balkoni.

Seorang kakitangan syarikat berkenaan kemudian kembali ke apartmen itu tiga hari kemudian dan menemui rangka wanita separuh berpakaian dibungkus dalam selimut di balkoni.

Bedah siasat menunjukkan rangka terbabit milik Ayumi.

Menurut polis, Komoto dan wanita itu adalah pasangan kekasih sejak mangsa di sekolah menengah lagi.

Polis turut menemui nota yang ditinggalkan Komoto di tempat kejadian berbunyi: “Saya mencekik Ayumi dan berfikir mahu membunuh diri tetapi tidak mampu melakukannya.”

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 1:38am
d