global

Mungkin kembali

Oleh Reuters

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam berkata, polis mungkin kembali mengetuai kempen memerangi dadah sekiranya masalah narkotik itu semakin buruk.

Duterte juga memberi amaran tiada siapa yang boleh menghentikan kempen berkenaan termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beberapa minggu lalu, Duterte mengarahkan polis menarik diri daripada kempen berkenaan selepas ribuan suspek dadah dibunuh.

“Sekiranya aktivis hak asasi manusia berpendapat sesiapa termasuk Trump boleh menghentikan saya, saya minta maaf.

“Sekiranya masalah dadah kembali buruk semula, polis terpaksa campur tangan. Saya mahu masalah itu dihapuskan sekiranya boleh,” tegas Duterte.

Filipina dikritik antarabangsa selepas 3,900 orang terbunuh dalam operasi antidadah yang dilakukan polis dalam tempoh 15 bulan lalu.

Polis menafikan tuduhan aktivis hak asasi manusia bahawa pihak berkuasa melakukan pembunuhan tanpa bicara.

Pihak berkuasa mendakwa, polis terpaksa menggunakan kekerasan kerana kebanyakan suspek bersenjata dan melawan ketika cuba ditahan.

Duterte menyerahkan tanggungjawab mengetuai kempen berkenaan kepada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA).

Bagaimanapun, ketua agensi itu, Aaron Aquino pada bulan lalu berkata, tanpa pembabitan polis kempen memerangi dadah akan kurang berkesan.

Kata Aquino, agensi itu mempunyai bilangan anggota dan bajet yang terhad berbanding polis.

Dia juga berharap, Duterte akan membenarkan polis mengetuai semula kempen antidadah berkenaan.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 3:35am
d