global

Mula proses pulang

Oleh AFP

Yangon: Myanmar dan Bangladesh memulakan proses penghantaran semula Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Rakhine dalam tempoh dua bulan akan datang, susulan perjanjian dipersetujui antara dua negara itu, semalam.

Lebih 620,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh sejak Ogos lalu akibat keganasan tentera yang diselar Washington minggu ini sebagai ‘pembersihan kaum.’

Selepas beberapa minggu membincangkan syarat pemulangan semula, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian di Naypyidaw, susulan rundingan antara pemimpin de facto Myanmar Aung San Suu Kyi dan Menteri Luar Bangladesh, A H Mahmood Ali.

Setiausaha Tetap Kementerian Buruh, Imigresen dan Penduduk Mying Kyaing berkata: “Myanmar dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman.”

Dia bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran lanjut. Perkara itu turut disahkan jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay dalam kenyataan di Twitter.

Sementara itu, Mahmood Ali berkata: “Ini baru langkah pertama. Mereka akan mengambil semula (Rohingya). Jadi sekarang kita perlu memulakannya.”

Bagaimanapun, butiran terperinci seperti jumlah etnik Rohingya yang dibenarkan pulang serta tempoh ditetapkan tidak dijelaskan, tetapi difahamkan prosesnya akan dimulakan dalam tempoh dua bulan.

Kumpulan hak asasi menyatakan kebimbangan berhubung proses itu, termasuk lokasi etnik Rohingya akan ditempatkan semula memandangkan ratusan perkampungan mereka dimusnahkan, selain bagaimana keselamatan mereka mampu dijamin di negara yang melihat lonjakan sentimen anti-Muslim.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 3:41am
d