global

Asap setinggi 4,000 meter [VIDEO]

Oleh AFP

GUNUNG berapi Agung meletus sekali lagi dengan mengeluarkan asap tebal setinggi 4,000 meter, hari ini dan menyebabkan sekurang-kurangnya 28 penerbangan dibatalkan serta ribuan pelancong terkandas.

Pusat gunung berapi Indonesia mengeluarkan amaran bersiap sedia (red alert) tetapi sehingga tegah hari tadi, lapangan terbang Ngurah Rai do Bali masih beroperasi.

Jurucakap lapangan terbang, Arie Ahsanurrohim berkata, keputusan untuk menangguhkan atau melencongkan penerbangan terpulang kepada syarikat penerbangan masing-masing.

“Kami cuba menyediakan tempat selesa di lapangan terbang ini kepada penumpang yang terkandas. Buat masa ini, kami menyediakan bilik khas bagi mereka untuk mengeluarkan barangan daripada bagasi dan peranti video untuk kesenangan mereka,” katanya.

Sekurang-kurangnya 2,000 penumpang terjejas dengan penerbangan yang tergendala, kebanyakannya pelancong Australia.

Beberapa penerbangan domestik turut dibatalkan termasuk ke pulau Lombok di timur Bali akibat debu dibawa angin ke arah itu.

Gunung Agung meletus pada kali terakhir pada 1963.

Hampir 1,600 orang terkorban dalam kejadian itu.

Ia mula kembali aktif September lalu menyebabkan 140,000 penduduk dipindahkan.

Namun mereka kembali ke rumah masing-masing apabila amaran gunung berapi diturunkan ke tahap kedua tertinggi oleh pihak berkuasa.

Selasa lalu, Gunung Agung bergegar lagi menyebabkan 25,000 penduduk dipindahkan.

Sabtu lalu, ia meletuskan abu dan asap buat kali kedua minggu ini.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 4:23pm
d