global

Amaran tahap tertinggi

Oleh AFP

Denpasar: Lapangan terbang di Bali ditutup semalam, manakala 100,000 penduduk berhampiran Gunung Agung diarahkan berpindah sebagai persediaan berdepan letupan besar pertama dalam tempoh 54 tahun yang dijangka berlaku bila-bila masa.

Status amaran dinaikkan kepada tahap tertinggi, selain zon bahaya diperluas.

Lapangan terbang ditutup 24 jam bermula pagi semalam, menjejaskan 445 penerbangan dan 59,000 penumpang selepas gunung itu - yang membunuh ratusan orang pada 1963 - memuntahkan abu ke udara.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata dalam satu kenyataan: “Kepulan asap diikuti letupan yang dapat didengar sehingga 12 kilometer dari puncak.

“Letupan besar bakal berlaku bila-bila.”

Gunung Agung mula memuntahkan asap dan abu minggu lalu, manakala semalam lahar sejuk mula kelihatan.

Lahar sejuk sama seperti aliran lumpur yang sering dilihat sebelum lava yang biasanya dikaitkan dengan letupan gunung berapi.

Pakar kanan gunung berapi negeri Gede Suantika berkata: “Tahap amaran dinaikkan kepada yang paling tinggi. Pada peringkat ini gegaran berterusan dapat dirasai.”

Gunung itu kali terakhir meletup pada 1963 yang membunuh 1,600 orang dalam kejadian paling teruk di negara yang mempunyai lebih daripada 120 gunung berapi aktif.

Zon bahaya di sekitar Gunung Agung - yang terletak 75 kilometer dari pekan pelancongan Kuta - diperluas 10 kilometer dengan penduduk di kawasan terbabit digesa berpindah.

Kira-kira 25,000 yang tinggal berhampiran gunung itu sudah berpindah sejak ia mula mengeluarkan asap pada Selasa minggu lalu.

Susulan itu, lapangan terbang Bali ditutup menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 3:41am
d