global

Lapangan terbang Bali dibuka kembali

Oleh AFP

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali, dibuka semula hari ini, selepas hampir tiga hari ditutup akibat abu letusan gunung berapi Gunung Agung kini ditiup angin ke arah lain.

Keputusan itu memberi harapan kepada lebih 120,000 pelancong yang terkandas berikutan pembatalan ratusan penerbangan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran lapangan terbang itu mungkin ditutup semula jika angin berubah arah dan asap serta abu membahayakan penerbangan.

Jurucakap lapangan terbang itu, Arie Ahsanurrohim, berkata: “Ruang udara dibuka semula pada 3 petang (waktu tempatan) tetapi kami akan memantau keadaan.”

Abu gunung berapi bahaya kerana mengakibatkan landasan licin selain disedut masuk ke dalam enjin pesawat.

Puluhan ribu orang meninggalkan kediaman mereka bagi menghadapi letupan Gunung Agung yang dijangka berlaku bila-bila. Bagaimanapun, kira-kira 100,000 dijangka perlu dipaksa berpindah.

Kali terakhir Gunung Agung meletup pada 1963 membunuh kira-kira 1,600 orang.

Kira-kira 100 bas turut disediakan untuk membawa orang ramai ke destinasi lain termasuk perjalanan 13 jam ke Surabaya malah juga Jakarta.

Pelancong yang visa mereka bakal tamat diberi kelonggaran untuk terus tinggal di Bali, kata agensi berkenaan. -

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 7:48pm
d