global

Semerbak stokin cetus pergaduhan

Oleh AFP

BAU busuk stokin seorang lelaki mencetuskan pergaduhan dalam bas ke New Delhi selepas dia membuka kasut dan stokin menyebabkan penumpang lain marah.

Menurut polis hari ini, lelaki berkenaan menaiki bas penuh dengan penumpang dari Himachal Pradesh ke New Delhi.

Namun, ketika dalam perjalanan, lelaki itu membuka kasut serta stokin dan meletakkannya berhampiran tempat duduk.

Penumpang yang tidak tahan dengan bau busuk kasut dan stokin itu menjadi marah dan mereka mendesak dia dicampak keluar.

Pertengkaran berlarutan menjadi pergaduhan menyebabkan pemandu bas terpaksa berhenti di balai polis di daerah Una, Himachal Pradesh.

Ketua Polis Daerah Una, Sanjeev Gandhi memberitahu, pergaduhan itu menyebabkan bas itu berhenti beberapa kali sebelum tiba di balai polis berkenaan.

“Lelaki itu bukan saja mengganggu keselesaan penumpang lain dengan bau busuk stokinnya malah berlagak samseng dengan mengancam penumpang lain serta mencetuskan kekecohan di balai polis.

“Kami menahan lelaki itu kerana mengganggu ketenteraman awam sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya.

Lelaki itu dikatakan menaiki sebuah lagi bas untuk ke New Delhi.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 10:32pm
d