global

Bekas presiden Yaman maut dibedil

Oleh Agensi

BEKAS presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh disahkan terbunuh akibat serangan pemberontak Houthi Syiah di pinggir Sanaa, hari ini.

Reuters melaporkan, pegawai dalam parti General People's Congress (GPC) pimpinan Ali Abdullah mengesahkan bekas presiden terbunuh di pinggir Sanaa akibat serangan pemberontak, termasuk pelancar bom tangan.

Turut terbunuh Penolong Setiausaha Agung GPC, Yasser al-Awadi.

Sumber pemberontak Houthi yang disokong Iran menyatakan, militannya berjaya memberhentikan kenderaan berperisai membawa Ali Abdullah dengan bedilan pelancar bom tangan sebelum menembaknya mati.

Laporan lain menyebut Kementerian Dalam Negeri Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi turut mengumumkan ‘pembunuhan’ Ali dengan video tersebar memaparkan mayat yang dikatakan pemimpin berkenaan.

Pembaca berita televisyen milik pemberontak, Al-Masirah berkata: “Kementerian mengumumkan tamatnya krisis militan dan pembunuhan pemimpin mereka serta sejumlah penyokong.”

Video yang tular di media sosial menunjukkan mayat Ali dibungkus dengan selimut dengan kesan kecederaan teruk di kepalanya.

Hari ini, pesawat Arab Saudi membedil kedudukan Houthi untuk hari kedua berturut-turut bagi menyokong Ali yang sebelum ini bersekutu dengan pemberontak berkenaan tetapi mengumumkan bekerjasama menentang mereka dalam perang itu.

Kempen serangan udara diketuai Arab Saudi itu disokong Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat, membunuh ratusan orang awam, namun gagal mengembalikan kuasa kepada presiden negara itu yang diiktiraf dunia, Abedrabbo Mansour Hadi, sejak perang tiga tahun lalu.

Ali meletak jawatan ketika kebangkitan Arab 2011 selepas memerintah Yaman selama 33 tahun.

Beliau sebelum ini menyokong Houthi yang menentang Abedrabbo, namun akibat perebutan kuasa, Ali mengumumkan tidak lagi sepakat dengan Houthi.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 10:47pm
d