global

Stesen minyak musnah dirempuh lori [VIDEO]

Oleh Agensi

SEORANG wanita hamil lapan bulan kini kritikal akibat dirempuh lori 16 tan yang melanggar sebuah stesen minyak di Johannesburg, Afrika Selatan.

Rakaman CCTV kejadian kira-kira 11 malam, Sabtu lalu, menunjukkan pekerja stesen minyak itu berlari menyelamatkan diri apabila melihat lori berkenaan datang dengan laju, dianggar 80 km sejam sebelum merempuh pam serta kereta Mercedes wanita terbabit menyebabkan mangsa serta empat lagi penumpang cedera.

Menurut Daily Mail, pemandu lori itu mendakwa lori berkenaan dipandu rakannya dan dia sedang mengajar lelaki berkenaan memandu.

Anggota bomba yang tiba menyatakan nasib baik tidak berlaku kebakaran atau letupan walaupun beberapa pam minyak dilanggar.

Jurucakap pasukan perubatan, Chris Christodolides, berkata lori berkenaan datang dengan laju merempuh apa saja yang ada hingga menyebabkan stesen minyak berkenaan boleh dianggap musnah.

“Seorang pekerja baru selesai mengisi minyak sebuah kereta dan segera berlari menyelamatkan diri apabila melihat lori terbabit meluru datang.

“Pemandu kereta Mercedes yang dirempuh serta diseret lori itu ialah wanita yang hamil lapan bulan, bersama empat penumpang. Bomba mengambil masa sehingga sejam untuk mengeluarkan semua mangsa selepas memotong kereta terbabit” katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 4:28pm
d