global

Indonesia rampas kapal nelayan China

Oleh Agensi

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia merampas sebuah kapal menangkap ikan China dan menangkap 21 kru yang didapati menangkap ikan secara haram di perairan timur negara itu.

Pihak berkuasa juga menemui enam bendera dari beberapa negara yang dipercayai digunakan kru untuk mengelirukan pengawal pantai.

“Apabila kami menghampiri kapal itu, kru menaikkan bendera Timor Leste, tetapi apabila pegawai membuat pemeriksaan kami menemui lima lagi bendera,” kata Menteri Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti kelmarin.

Ujarnya, lima lagi bendera itu dari China, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Kru yang ditangkap itu terdiri daripada sembilan warga China, enam warga Indonesia dan masing-masing tiga warga Myanmar serta Vietnam.

Kapal Fu Yuan Yu 831 itu disyaki menangkap ikan di perairan Indonesia berhampiran Timur Leste sejak Ogos lalu.

“Kami juga merampas 35 tan ikan termasuk jerung harimau, spesies ikan yang dilindungi.

“Kami membawa kapal itu ke Pelabuhan Kupang di Nusa Tenggara Timur untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Sebelum ini, pihak berkuasa maritim Timor Leste sudah menahan 15 kapal berlainan milik syarikat Fu Yuan Yu kerana menceroboh perairan negara itu.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 10:13am
d