global

Sewa Airbnb secara haram

Oleh AFP

Singapura: Dua lelaki didakwa kerana menyewakan apartmen mereka secara haram menerusi perkhidmatan perhotelan dalam talian, Airbnb dalam pendakwaan pertama seumpamanya mengikut undang-undang baru di negara itu, lapor media tempatan semalam.

Peraturan terbaru yang diperkenalkan Mei lalu itu menghalang pemilik rumah menyewakan hartanah mereka kurang dari tiga bulan tanpa persetujuan pihak berkuasa.

Ini bermakna, kebanyakan penginapan jangka pendek ditawarkan di negara itu menerusi Airbnb sepatutnya haram.

Polisi perumahan di negara yang kawasannya terhad itu dikawal ketat, di mana 80 peratus penduduk tinggal di perumahan awam yang disubsidikan kerajaan.

Terence Tan En Wei, 35, dan Yao Song Liang, 34, didakwa di mahkamah kelmarin kerana menyewakan empat kondominium mewah di tengah Singapura menerusi Airbnb.

Kedua-duanya berdepan denda sehingga S$200,000 (RM603,000) jika didapati bersalah.

Lembaga Pembangunan Semula Bandar yang mengawal selia perumahan berkata, ia akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang bertanggungjawab menyewakan hartanah mereka untuk penginapan jangka pendek.

Meskipun adanya peraturan baru itu, perkhidmatan yang berpusat di California itu kekal popular di Singapura, di mana terdapat 8,700 senarai carian sewaan apartmen di negara itu.

Sementara itu jurucakap Airbnb berkata, mereka berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura untuk mencari cara menyelesaikan masalah itu.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 8:33am
d